Lama betul rasanya tak update blog ni. Sibuk? tu ada juga, cuma kebelakangan ni seakan kehabisan idea. Nak kata takde benda ingin ditulis tu tak la tapi lebih tepat sikit jika guna istilah terlalu banyak benda yang nak diluahkan cuma ideanya bercampur baur dan perlu disusun suai terlebih dahulu. Ini mungkin disebabkan blog papa ni dibuat tanpa disandarkan pada tema tertentu sekadar tulis apa yang nak ditulis saja.
Semakin hari anak-anak kian membesar, bermakna cabaran dalam mendidik juga semakin bertambah. Masa kecik-kecik tu apa yang kita suruh atau larang mungkin akan diikuti dengan tanpa banyak bantahan tapi bila semakin membesar, semakin banyak la kedengaran suara-suara 'bantahan' dari mereka.Sememangnya ini sudah menjadi lumrah dalam kehidupan kita sebagai insan biasa namun apa yang penting sejauh mana kita mampu menilai semula apa sebenarnya yang berlaku. Pernahkah kita fikirkan atau dalami mengapa anak-anak kita boleh jadi begini, tidak wajar rasanya kita hanya letakkan segala-galanya sebagai 'lumrah' atau 'fitrah' semata-mata.
Pernahkah kita cuba cerminkan diri berdasarkan tingkah laku atau perangai anak-anak kita sendiri. Seandainya kita cuba luangkan sedikit masa dan cuba renungkan kembali satu persatu gerak geri atau perwatakan anak-anak, pasti kita mampu jadikannya sebagai bahan muhasabah diri seterusnya sebagainya garis panduan untuk kita teruskan penghidupan sebagai makhluk 'termulia' di bumi Allah ini.
Mencari 'kelemahan' serta 'kekurangan' diri itu amat susah kerana kita sebagai manusia biasa pastinya agak sukar untuk menerimanya, yang pasti kita akan mudah 'mengira' segala 'kebaikan' berbanding 'kejahatan' yang telah kita lakukan. Perhatikanlah segala kekurangan atau kejelekkan orang lain dari sudut pandangan kita dan jadikanlah ianya sebagai garis panduan atau pedoman diri bukannya untuk bahan untuk mencemuh atau mengutuk.
Kita harus ingat setiap insan itu ada kekuatan serta kelemahan tersendiri, oleh itu tidak wajar sama sekali jika kita memandang rendah akan seseorang bila melihat kekurangan mereka kerana mungkin dari satu sudut yang lain mereka lebih elok berbanding dengan diri kita.

0 comments: